Di surau tadi bertemu dengan seorang rakan seusaha yang baru pulang dari berkhidmat untuk neneknya yang baru pulang ke rahmatullah ahad lalu. Alhamdulillah katanya kerana sempat diberi masa, kesempatan serta dipilih Allah untuk berkhidmat seminggu penuh full swing untuk aruah neneknya yang telah membesarkannya semenjak usianya setahun. Katanya, kalaulah diberi cuti, mahu sahaja dia menghabiskan waktu seberapa lama yang mungkin untuk berkhidmat kepada orang yang telah mencurahkan kasih sayang membesarkannya dari kecil sebelum hari terakhirnya di muka bumi Allah.
Katanya lagi, bagaimana perasaan baginda saw pada tahun kesedihan dimana pada tahun tersebut Allah menjemput dua orang yang paling dikasihi iaitu isterinya Khadijah ra dan Abu Talib bapa saudaranya. Dua orang yang membelanya di saat orang memulaukannya, dua orang yang mempertahankannya di saat orang lain menjatuhkannya, dua orang yang menyayanginya sewaktu orang lain membencinya.
Dia berkata kepada saya dalam suasana sebak, alangkah ruginya kalau kita sebagai anak berkira-kira dalam berkhidmat kepada ibu bapa terutama sewaktu akhir hayatnya. Benar, hari ini berapa ramai anak akan bergaduh dalam membuat pemilihan siapa punya turn kali ni, minggu ni,bulan ni nak jaga mak atau abah yang sakit, tenat, tua dan sebagainya. Pernah tak kita lihat anak bergaduh kerana berebut nak jaga mak ayah? Paling kuat pun anak-anak yang mengaku soleh masing-masing akan buat jadual siapa akan jaga mak atau ayah hari ni, minggu ni, bulan ni. Sepertinya ayah dan ibu kita dahulu juga menjaga kita berdasarkan jadual harian, time ni abahnya jaga, time tu ibunya pulak yang jaga. Ya, kita hari ini masing-masing sibuk dengan urusan dunia mencari rezeki nak besarkan anak 2 orang, nak bayar hutang rumah 2 tingkat, kereta 2 bijik, loan 22 kali dan lain-lain.
Sayu dan sebak mendengar kata-kata beliau. Semoga hayat yang ada, Allah memilih saya, memberi taufik kepada saya untuk berkhidmat bersunguh-sunguh kepada kedua ibu bapa saya yang telah membesarkan saya dengan penuh susah payah sehingga saya mengenal kehidupan ini.
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)" (al-Isra’:23)
Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)
Fadzil khairi
Surau al muhajirin
Presint 9
![]() |
Selagi ayah dan ibu ada, jagalah mereka |
No comments:
Post a Comment